Friday, June 13, 2008

Sipattuo Sipattokkong...

Salam Padaidik... Maaf jutaan maaf...

Dua minggu di Sabah terlalu sibuk dengan program di KK, Kota Belud, Tawau, Samporna, Lahad Datu... Ditambah pula dengan ayah yang menjalani pembedahan akibat pendarahan di kepala dan terpaksa berada di hospital Tawau selama 2 minggu itu... Alhamdulillah semuanya lancar dan kini ayah sedang berehat di rumah sambil ikut terapi di hospital 5x seminggu... Kagum dengan semangat ayah... Ketika akan dibawa masuk kedalam dewan bedah kami anak-anaknya cuba menenangkan perasaannya yang sebenarnya memang sentiasa tenang... Dan dengan tenang pula ayah berkata "Dek na wedding labuk esso e ki tengana bitara e..." (Tidak mungkin tiba malam selagi mentari di tengah langit). Dalam istilah melayunya "Pantang maut sebelum ajal..."

Kini disibukkan pula dengan gerakan-gerakan anti kenaikan harga minyak yang membebankan rakyat (hari ini perarakan dari masjid Kg. Baru ke KLCC selepas solat Jumaat, ribuan yang hadir). Kenaikan harga minyak yang pastinya akan megakibatkan kesan berantai iaitu kenaikan harga semua barang tanpa kecuali... Tambah lagi dengan kesibukan menangkis serangan-serangan keatas kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor oleh mereka yang berhati jahat yang ingin mengekalkan kejahatan dengan sokongan segelintir rakyat yang masih mau hidup dalam kejahatan...

Alhamdulillah 20 Jun ini Selangor manyambut 100 hari kerajaan baru Pakatan Rakyat. Perhimpunan raksaksa akan berlangsung di Stadium Shah Alam mulai Solat Maghrib berjamaah diikuti dengan doa selamat, solat Isyak dan sessi penerangan oleh Pimpinan Negeri... Saya menjemput semua tanpa kecuali untuk hadir beramai-ramai bersama saudara mara rakan dan taulan serta jiran tetangga dan kenalan...

Marilah hidupkan budaya bertolong-tolongan menegakkan kebaikan sesuai dengan ruh "sipattuo sipattokkong..." atau dalam bahasa al-Qurannya "wata`aa wanuu `alal birri wattaqwaa walaa ta`aa wanuu alal 'ithmi wal `udwaan..." (bertolonganlah kamu dalam perkara kebaikan dan taqwa dan jangan kamu bertolongan dalam perkara dosa dan permusuhan...)

Salaamak...

Thursday, May 15, 2008

Hijrah & Perubahan.

Alhamdulillah... Kelmaren saya pulang dari Kuwait menghadiri persidangan 1 hari anjuran International Islamic Charitable Organization. Banyak isu yang dibincangkan mengenai nasib dan masa depan umat Islam di dunia. Wakil-wakil Pertubuhan Kebajikan Islam hadir mewakili hampir seluruh dunia Islam dan bukan Islam termasuk dari Amerika, Eropah, Afrika dan Asia. Saya pergi mewakili 5 Kerajaan Pakatan Rakyat di Semenanjung.

Yang menariknya ialah bila saya bersembang dengan wakil dari Filipina, seorang professor di Universiti Marawi, dia akui bahawa antara peneroka awal Islam di Filipina ialah pelayar dan pedagang Bugis. Rupa-rupanya "tau riolo" kita bukan hanya menjelajah di sekitar wilayah Borneo malah juga melintasi lautan sulu untuk pergi ke wilayah yang lebih utara seawal tahun 1700an atau awal 1800an...

Memang tidak dinafikan bahawa Bugis adalah pelayar yang hebat, namun bukan ilmu pelayaran itu yang ingin kita bicarakan tapi konsep "hijrah" yang mendorong orang Bugis untuk mengembara. Saya mulakan dengan orang tua saya yang masuk ke Sabah di zaman British. Mereka sanggup berperahu layar meredah lautan semata-mata kerana inginkan perubahan. Nasib keluarga perlu diubah... Anak-anak perlu disekolahkan...

Islam juga melihat hijrah sebagai asas untuk perubahan. Sya'ir Imam Syafi'e bermaksud "Emas di perut bumi tidak akan bersinar... Gaharu di hutan tidak akan berharga... Singa dalam gua tidak akan makan... Anak panah di busur tidak akan mengena sasaran..." Emas perlu keluar dari perut bumi, gaharu perlu meninggalkan hutan, singa perlua keluar cari mangsa dan anak panah perlu berpusah dengan busurnya...

Bagaimanapun, hijrah sikap dan minda itu yang lebih utama. Selagi minda dan sikap tidak diubah, maka selagi itulah kita tidak akan mencapai matlamat perubahan yang diidamkan... Sebagai orang Islam, pembentukan sikap dan minda kita tentu tidak boleh lari dari ajaran agama. Persoalannya - bagaimanakah Islam boleh dihayati dalam keadaaan agama yang semakin terasing dari kehidupan kita? Sabda Nabi s.a.w. bermaksud "Islam bermula sebagai suatu yang asing, dan Islam akan kembali asing... Maka berbahagialah orang-orang asing (kerana mempertahankan Islam yang asing itu)..."

Saya lontarkan tajuk ini untuk perbincangan padaidik semua... Salaaaamak!

Wednesday, April 30, 2008

Sabar dan Tawakkal.

Saya pernah dengar orang tua kita berkata... B.U.G.I.S itu dari 5 kalimah iaitu B- berani (kerana benar), U- usaha (kuat kerja), G - gigih (tidak putus asa), I - Indah (seni budayanya) dan S - Sabar (mengawal diri).

Sabar pula sering dikaitkan dengan tawakkal kepada Tuhan, sesuai dengan budaya Bugis yang amat rapat dengan agama. Lagu-lagu dan puisi Bugis banyak diwarnai dengan ajaran-ajaran agama. Ketika di Mesir dulu, saya sering ikuti program wacana ilmu anjuran Persatuan Keluarga Sulewesi dan di situ saya banyak mengenal Bugis dan budayanya. Saya sempat juga belajar sedikit tulisan Bugis (Ka Ga Ngang Kak, Ca Ja Nyan Cak, Ta Da nan Rak, Pa Ba Mam Pak, Ya Ra La Wa, Sa A Ha... kalau salah tolong betulkan...)

Ada pepatah Bugis yang amat berkesan di hati saya tentang sabar dan tawakkal - "Sabbarak ko mappesona, mu tajeng pammase... Dua pammase u tajeng... Pammasena puangngE, pammasena idik wattakalata..." Jadikanlah sabar dan tawakkal itu sebagai perhiasan diri...

(Sekiranya ada teman-teman padaidik dari Universitas Hasanuddin yang mengikuti blog ini, saya ingin menjejaki sahabat-sahabat yang bersama di Mesir pada tahun 1979-1983. Salam...)

Friday, April 25, 2008

Bugis & Siri' (sekadar cetusan minda)

Siri' dari segi bahasa ertinya malu. Namun siri' sebenarnya lebih dari sekadar malu. Kalau orang berkata - Dek na masiri' - boleh saja membawa erti 'dia tak malu'. Tapi kalau - Dek gaga siri' na - itu boleh membawa erti lain yang amat mendalam...

Siri' adalah maruah atau harga diri seseorang (juga dalam makna yang lebih luas, maruah bangsa dan agama) yang wajib dipertahankan. Orang sanggup buat apa saja bila siri' nya tercabar apa lagi tercalar. Kerana siri', moyang kita sanggup menyeberang lautan luas yang ganas. Kerana siri', moyang kita sanggup berjuang pertahankan tanah air dari musuh yang menceroboh. Kerana siri, moyang kita sanggup buat apa saja...

Siri' menjadikan seseorang itu berani untuk berkata dan bertindak. Perkataan dan tindakannya pula dikawal oleh akal yang waras kerana perkataan atau tindakan yang ikut nafsu akan menyebabkan kehinaan dan itu bercanggah dengan siri'. Orang yang punya siri' tidak buat perkara-perkara hina, jijik dan memalukan. Siri' mencegahnya dari mencuri, menipu, berbohong, malah siri' menghalangnya dari bersyubahat atau bersekongkol dengan sebarang bentuk kejahatan dan sifat terkeji.

Ringkasnya - Siri' adalah kekuatan dalaman atau jatidiri (dalam Islam ia dipanggil aqidah) yang menjadikan bangsa Bugis pernah dihormati dan digeruni satu ketika dahulu...
Oh... Ohh... dan Ohhh...

Thursday, April 24, 2008

Semangat setiakawan (sekadar pengenalan)

Bugis (satu ketika dulu...) dianggap bangsa yang memiliki semangat setiakawan yang amat tinggi. Terkadang ia disalah anggap sebagai semangat perkauman atau faham `asabiyyah'. Ia sanggup membela saudaranya dengan apa cara sekalipun nyawanya tergadai. Ia tidak akan mengecewakan apalagi mengkhianati sahabat atau saudaranya.

Ada pepatah bugis (saya tidak ingat matannya dalam bahasa bugis, jika ada sesiapa yang tahu, sila kongsi...) yang membawa maksud "sekali aku menjadi penumpang sebuah kapal, aku akan tetap menjadi penumpangnya walaupun hanya berpaut pada sekeping papan..."

Maknanya walau sebesar mana badai menimpa, walau pecah kapal itu dipukul gelombang, dia tetap setia tidak akan lari meninggalkan kapal tersebut... Indahnya...

Nikmati lagu ini... "Tana Ogi Wanuakku" http://www.youtube.com/watch?v=Ydc3V3hako4&feature=related

Salam Perkenalan. Aga kareba?

Assalamualaikum w.w.

PADAIDIK PADAELOK - adalah perkataan Bugis yang membawa maksud "SESAMA KITA BERBAIKLAH". Digunakan untuk menunjukkan semangat setiakawan yang tersemai dalam diri orang-orang Bugis. Blog ini mengajak semua (Bugis dan bukan Bugis) untuk bersama-sama meneroka dunia Bugis yang tercatit dalam sejarah Melayu sebagai sebuah Bangsa yang hebat...

Saya amat mengalu-ngalukan sumbangan idea, penulisan, cerita, komen, apa saja untuk mengembangkan blog ini. Terima kasih!

Salaamak! Salaamak!

(nikmati lagu-lagu Bugis (Indo Logo) dalam www.youtube.com/watch?v=kj3rG1y2hYY)