Wednesday, April 30, 2008

Sabar dan Tawakkal.

Saya pernah dengar orang tua kita berkata... B.U.G.I.S itu dari 5 kalimah iaitu B- berani (kerana benar), U- usaha (kuat kerja), G - gigih (tidak putus asa), I - Indah (seni budayanya) dan S - Sabar (mengawal diri).

Sabar pula sering dikaitkan dengan tawakkal kepada Tuhan, sesuai dengan budaya Bugis yang amat rapat dengan agama. Lagu-lagu dan puisi Bugis banyak diwarnai dengan ajaran-ajaran agama. Ketika di Mesir dulu, saya sering ikuti program wacana ilmu anjuran Persatuan Keluarga Sulewesi dan di situ saya banyak mengenal Bugis dan budayanya. Saya sempat juga belajar sedikit tulisan Bugis (Ka Ga Ngang Kak, Ca Ja Nyan Cak, Ta Da nan Rak, Pa Ba Mam Pak, Ya Ra La Wa, Sa A Ha... kalau salah tolong betulkan...)

Ada pepatah Bugis yang amat berkesan di hati saya tentang sabar dan tawakkal - "Sabbarak ko mappesona, mu tajeng pammase... Dua pammase u tajeng... Pammasena puangngE, pammasena idik wattakalata..." Jadikanlah sabar dan tawakkal itu sebagai perhiasan diri...

(Sekiranya ada teman-teman padaidik dari Universitas Hasanuddin yang mengikuti blog ini, saya ingin menjejaki sahabat-sahabat yang bersama di Mesir pada tahun 1979-1983. Salam...)

Friday, April 25, 2008

Bugis & Siri' (sekadar cetusan minda)

Siri' dari segi bahasa ertinya malu. Namun siri' sebenarnya lebih dari sekadar malu. Kalau orang berkata - Dek na masiri' - boleh saja membawa erti 'dia tak malu'. Tapi kalau - Dek gaga siri' na - itu boleh membawa erti lain yang amat mendalam...

Siri' adalah maruah atau harga diri seseorang (juga dalam makna yang lebih luas, maruah bangsa dan agama) yang wajib dipertahankan. Orang sanggup buat apa saja bila siri' nya tercabar apa lagi tercalar. Kerana siri', moyang kita sanggup menyeberang lautan luas yang ganas. Kerana siri', moyang kita sanggup berjuang pertahankan tanah air dari musuh yang menceroboh. Kerana siri, moyang kita sanggup buat apa saja...

Siri' menjadikan seseorang itu berani untuk berkata dan bertindak. Perkataan dan tindakannya pula dikawal oleh akal yang waras kerana perkataan atau tindakan yang ikut nafsu akan menyebabkan kehinaan dan itu bercanggah dengan siri'. Orang yang punya siri' tidak buat perkara-perkara hina, jijik dan memalukan. Siri' mencegahnya dari mencuri, menipu, berbohong, malah siri' menghalangnya dari bersyubahat atau bersekongkol dengan sebarang bentuk kejahatan dan sifat terkeji.

Ringkasnya - Siri' adalah kekuatan dalaman atau jatidiri (dalam Islam ia dipanggil aqidah) yang menjadikan bangsa Bugis pernah dihormati dan digeruni satu ketika dahulu...
Oh... Ohh... dan Ohhh...

Thursday, April 24, 2008

Semangat setiakawan (sekadar pengenalan)

Bugis (satu ketika dulu...) dianggap bangsa yang memiliki semangat setiakawan yang amat tinggi. Terkadang ia disalah anggap sebagai semangat perkauman atau faham `asabiyyah'. Ia sanggup membela saudaranya dengan apa cara sekalipun nyawanya tergadai. Ia tidak akan mengecewakan apalagi mengkhianati sahabat atau saudaranya.

Ada pepatah bugis (saya tidak ingat matannya dalam bahasa bugis, jika ada sesiapa yang tahu, sila kongsi...) yang membawa maksud "sekali aku menjadi penumpang sebuah kapal, aku akan tetap menjadi penumpangnya walaupun hanya berpaut pada sekeping papan..."

Maknanya walau sebesar mana badai menimpa, walau pecah kapal itu dipukul gelombang, dia tetap setia tidak akan lari meninggalkan kapal tersebut... Indahnya...

Nikmati lagu ini... "Tana Ogi Wanuakku" http://www.youtube.com/watch?v=Ydc3V3hako4&feature=related

Salam Perkenalan. Aga kareba?

Assalamualaikum w.w.

PADAIDIK PADAELOK - adalah perkataan Bugis yang membawa maksud "SESAMA KITA BERBAIKLAH". Digunakan untuk menunjukkan semangat setiakawan yang tersemai dalam diri orang-orang Bugis. Blog ini mengajak semua (Bugis dan bukan Bugis) untuk bersama-sama meneroka dunia Bugis yang tercatit dalam sejarah Melayu sebagai sebuah Bangsa yang hebat...

Saya amat mengalu-ngalukan sumbangan idea, penulisan, cerita, komen, apa saja untuk mengembangkan blog ini. Terima kasih!

Salaamak! Salaamak!

(nikmati lagu-lagu Bugis (Indo Logo) dalam www.youtube.com/watch?v=kj3rG1y2hYY)